Izah mengirai-ngirai rambutnya yang masih basah. Diselak-selak
sendiri dengan tangannya yang mulus. Kemudian, dilap kembali dengan
tuala pinknya. Membalut, seterusnya menyanggul rambut ikal mayang basah
nya itu.
Dia menapak ke sisi katil. Telefon
bimbitnya digagau di bawah bantal. Ia berkelip. Ada dua mesej tertera.
Kedua-duanya sudah tidak sabar untuk dibuka. Izah duduk di tepi katil,
lantas menekan butang ‘open’. Ada mesej dari Ikhwan, ada mesej dari
Dzikry. Sambil senyum tipis, membaca sekilas mesej Ikhwan, Izah
membiarkannya. Membuka pula mesej Dzikry, juga tersenyum tipis.
Izah
berkeputusan membalas kedua-dua mesej tersebut. Sebetulnya sebelum
mandi tadi, memang dia sedang bermesej dengan kedua-dua lelaki itu. Dia
meletakkan telefon bimbit itu
ke atas meja belajarnya. Mengambil losyen Nivea kemudian melumurkan ke
bahu kanannya. Jam dari laptopnya berdenting sekali menandakan sudah
pukul 7 malam.
Sambil meratakan losyen ke seluruh lengan kanannya, Izah menekan butang ‘reply’.
“X wat apa pun..baru siap mandi..”
Izah menekan butang send.
Pintu
bilik diketuk perlahan. Salam halus kedengaran pintu bilik dikuak.
Muncul Fasihah dengan senyumannya yang manis. Rambutnya juga dibalut
dengan tuala, persis Izah. Cuma yang berbeza, Fasihah nampak manis dan
sopan dengan baju kelawar bercorak batik labuhnya. Berlengan panjang
santak ke hujung lengan. Warna biru laut yang ceria, dihiasi warna-warna
pastel yang lain. Tompokan
bunga pink, kuning, hijau epal dan lilac tambah menyerikan gadis itu.
Sedang Izah ada di birai katil, dengan handphone di tangan, masih selesa
berkemban dengan kain batik.
Fasihah cermat-cermat meletakkan
baldi berisi bekas mandi dan peralatan mandinya bersebelahan baldi Izah
di ruang kanan bilik itu. Kipas siling di bilik itu berpusing ligat.
Fasihah lantas meleraikan balutan rambutnya. Terurailah rambutnya yang
ikal mayang berkilat santak ke punggung itu. Dia mengambil sikat dan
menyikatnya perlahan. Usai merapikan rambut, dia terus menyarungkan
jubahnya. Anak telekung dipakai, dan telekung solat disuakan ke mukanya.
Dia membuka lokernya, menyorong laci seterusnya mengeluarkan sepasang
sarung kaki coklat yang baru. Menutup pintu loker seterusnya mengenakan
sarung kaki tersebut.
Izah terus-terusan menghadap handphonenya. Fasihah melihat wajahnya sekilas di cermin. Jam berdenting sekali lagi dari laptop Izah menandakan sudah pukul 7.15 malam.
“Ahh..aku
perlu cepat. Tak lama lagi azan akan berbunyi. Nanti tak sempat pula
nak beriktikaf dan solat sunat qabliyyah,” bisik Fasihah.
Fasihah
senyum sekilas pada Izah. Izah hanya membalas dengan pandangan kosong.
Fasihah terus keluar dan menutup pintu cermat-cermat, dengan Al-Qur’an
hijau kesayangannya di tangan kanan. Tanda tanya timbul dalam hati Izah.
“Aik..selalunya
dia ajak aku ke surau bersama.. Em, takpelah..bagus jugak. Takdelah aku
serba salah nak cari alasan.. Peliknye..nak pi surau je, dekat je
pun..nak pakai stokin jugak..hai..” Izah senyum sinis sambil terus
menyambung menaip pesanan ringkas.Dzikry menunggu di hujung sana.
Tepat
pukul 9.30 malam, Fasihah pulang dengan menjinjit beg plastik. Masih
dengan senyumannya, dia hati-hati meleraikan telekung solatnya yang
sedikit biru nila itu. Usai disangkut di hanger, lantas menggantungnya
di hujung katil, Fasihah menyuakan bungkusan itu pada Izah yang leka
mengadap laptopnya. Ada bunyi deringan menandakan mesej masuk. Bunyi
mesej YM.
“Zah, jom makan sama-sama. Ada biskut raya. Amalina yang
bagi, dia ajak singgah ke biliknya lepas solat Isya’ tadi. Baik sangat
dia, padahal baru kenal tadi.”
Izah berpaling sekilas sambil senyum.
“Emm,
takpelah. Kite dah makan petang tadi. Awak makanlah. Malam kite tak
makan sangat..takut badan naik..haha,” jawab Izah berbasa-basi.
“Owh..ye ke..baguslah. Doktor, mesti jaga kesihatan kan..” Fasihah senyum ceria.
Fasihah
mengambil sekeping biskut Almond London, menyuakan ke mulut. Getaran
Bismillah kedengaran halus. Usai mengisi lebihan biskut ke dalam tabung
biskut di rak teratas, Fasihah mencapai buku teks Usul Akhamnya. Duduk
mengadap ke arah kiblat, Fasihah membuka buku tersebut dengan bacaan
Bismillah.
“Eii.. tolongla jangan panggil aku Zah. Macam nama
orang tua je.. Em, hairan aku. Ramai betul kawan dia. Kejap Sumayyah,
kejap Suhaila, kejap Aina, kejap Amalina..mm..apa-apa jelah…” gumam Izah
di dalam hatinya.
Pukul 11.30 malam, Fasihah beberapa kali
menguap. Izah masih tekun di hadapan laptopnya. Facebook sedang
dilayari. YM masih terus dilayani, malah tambah rancak berbunyi.
Fasihah
bangun mengambil baldinya. Dia keluar ke tandas yang berada selang
beberapa bilik dari bilik kediamannya, D643. Usai memberus gigi,
membersih muka dan meratakan air wudhu’, dia menapak ke biliknya.
Fasihah
membuka mushaf kesayangannya, menyelak tali oren, tempat tanda Surah
Al-Mulk. Usai membaca habis surah itu perlahan-lahan, dia menutup mushaf
itu, mengucup, mencium dan meletakkan ke dadanya. Erat.
“Zah, hah tidur dulu ea. Em, Zah jangan tidur lewat sangat tau… nanti ada black circle.. nanti hilanglah keayuan Zah..hehe..”
Izah senyum pada Fasihah.
“..Baiklah.. kite pun dah ngantuk jugak ni..”
Fasihah
sudah lena dibuai mimpi. Dia tidur mengadap kiblat, dengan rusuk kanan
berada di bawah. Desahan nafas halus berirama perlahan.
Pukul 12.30 malam, Izah masih di hadapan laptopnya.
“Ahh..belum solat Isya’ lagi..tapi ngantuk la pulak.. Em..tidur dululah. Bangun pukul 4, baru Solat Isyak..”
Izah
terus merebahkan badannya ke atas tilam empuk bercadar pink bunga merah
itu, sambil menetapkan alarm telefon bimbitnya pada pukul 4 pagi. Tidak
lama untuk dia mula belayar di lautan mimpi…
Pukul 3 pagi,
Fasihah bangun. Menyucikan diri, menyucikan hati dan nawaitu.
Menyegarkan diri dengan air wudhu’, Fasihah mengenakan telekung
solatnya. Sengaja dia menggantung telekung di hujung katilnya, agar
terbangun sahaja, dia dapat melihat telekung itu seraya mengingatkan
dirinya untuk solat malam.
Ahh.. solat malam. Nabi Muhammad S.A.W
yang maksum, dicintai Allah dan pasti masuk syurga itu saja solat hingga
bengkak kakinya. Sedang aku ini.. Maksum? Jauh sekali. Dicintai Allah??
Tak pasti… Syurga?? Ahh.. aku yang hina begini.. entah lah Ya Rabbi.
Justeru itu.. izinkan aku bangun di dini hari-Mu ini.. meratap sendu di
kaki-Mu Ya Ilahi Rabbi..memeluk bayangan-Mu Ya Habibi Qalbi.. bersimpuh
tulus di hadapan-Mu Ya Naasiri..Ya Waliyyi..Anta Maqsuudi..Waridhaaka
Mathluubi..
Sekejap sahaja air mata penuh di tubir mata Fasihah.
Sendunya berlagu perlahan.. bimbang didengari teman sebilik. Dalam doa
dia bertawakkal. Bulat, penuh. Usai berzikir perlahan, membaca Al-Qur’an
barang tiga muka, solat witir, Fasihah merebahkan badan kembali, dengan
mata yang masih basah.
Baru sahaja dia ingin melelapkan mata, handphone Izah berbunyi. Lagu Lady Gaga.
“Bunyi call? Atau alarm? Tapi biasanya kalau call… bunyinya macam lain..” Fasihah terkejut.
“Emm, pukul 4 pagi. Bangun bertahajjudkah?” Fasihah berteka-teki.
“Alhamdulillah..”
Sudah 3 kali handphonenya berulang dering. Namun Izah hanya bergerak-gerak tanpa memberi tindak balas apa-apa.
“Mungkin dia tidur lewat. Penat benar..” terka Fasihah.
Atas
dasar sahabat, dan mungkin niat yang baik di disisi Izah, Fasihah
menggerakkan Izah. Mungkin benar dia mahu bertahajjud, kasihan dia jika
terlepas. Atau ingin mengulangkaji.. tidak kisahlah. Yang pasti tentu
dia ada maksud tersendiri untuk bangun di dinihari itu. Jikalau tidak,
masakan dia set alarm handphonenya.
“Zah.. Em.. Izah… Izah. Izah
nak bangun ke?” Fasihah menyentuh kaki Izah lembut. Kemudian, Fasihah
berhati-hati menggoncang bahu Izah.
“..Ha..Emm..Ya..Ya..” Izah menggosok-gosok matanya. Dia bangun dan duduk di birai katil. Mematikan alarmnya.
Fasihah
kembali merebahkan badannya di katil. Cadar warna ungu muda itu
dikemaskan sebelum dia merebahkan badannya. Dia tidak tahu bahawa Izah
sebenarnya terlena kembali.
Tepat jam 5.30 pagi, Izah terbangun kembali.
“Aduh!! Solat Isya’!”
Mengerling handphonenya sekilas, Izah buru-buru ke tandas untuk mengambil wudhu’. Fajar Subuh akan menyinsing sekejap lagi.
Usai solat, itupun cuma 2,3 minit, Izah melepaskan kelelahannya yang berbaki.
“Ah..nasib baik sempat. Tak pasal-pasal aku kena ganti nanti… macam dua hari lepas…”
Bukan
tak selalu Izah begitu. Qadha’ solat disebabkan kebiasaannya
melewat-lewat dan menangguh-nangguhkan solat. Itupun jika rajin dan
teringat. Sudahnya dibiarkan sahaja tanpa menggantinya. Dalam remang
bulan dan cahaya lampu mejanya, Izah tertangkap pada helaan nafas halus.
Cukup teratur. Ia begitu mendamaikan. Lantas Izah menyoroti pula wajah
itu. Ia tambah mendamaikan jiwa.
“Tak banyak beza antara aku dan
dia. Rambutnya ikal panjang, lebih kurang sama saja dengan aku. Aku
lebih cerah. Aku juga lebih kurus dari dia. Tapi, kenapa dia sangat
menawan hati? Renungan matanya bening dan cerah. Kalau aku pun dah fikir
begitu, entah apalah pandangan dan fikiran lelaki lain. Agak-agaknya
dia ada tak pakwe? Tak pernah sekali pun dia cakap pasal lelaki. Kalau
kawannya datang, tak pernah pun bincang pasal topik tu.. habis-habis
tentang kuliah-kuliah agama, usrah, isu-isu semasa… tarbiyyah…apa tu?
Aku??..” Izah bermonolog dalam hati sendiri.
“..Waktu tidur,
Fasihah lagi cantik. Sangat puas menatap wajahnya yang lembut dan bersih
itu. Aku? Entahlah…Ahhhhh…” Izah membanding beza lagi. Menjerit kecil
dalam relung hati sendiri.
Pandangan mata Izah tertancap pada
tangan Fasihah. Lengan bajunya tersingkap ke paras siku. Ada garis di
situ. Garis di pergelangan tangannya jelas kelihatan.
“Ah.. jarang
sekali untuk melihat lengannya begitu, apatah lagi sering berkemban
macam aku.. Ya Allah, dia sebenarnya sangat putih. Cuma tangannya je
yang sedikit berlainan. Inilah bukti dia menutup auratnya dengan baik
sejak dahulu.. sedang aku? Selesa berlengan pendek ke sana ke mari..”
Izah mula sebak.
Dia memandang kembali wajah Fasihah. Garis yang
sama juga kelihatan di sekeliling wajahnya yang penuh itu. Ini kerana
dia istiqamah dengan tudung labuhnya sejak di bangku sekolah rendah
lagi. Menurut foto yang dilihat Izah di atas meja belajar Fasihah.
“..Ya,
dia sebenarnya lebih putih dari aku.. lebih cantik dari aku. Aku sahaja
yang perasan lebih sebelum ini. Tapi aku akui melihat dia mengenakan
telekung solat atau tudung labuhnya, begitu mendamaikan jiwa..”
Izah
segera teringat. Waktu itu Fasihah tertinggal bakul bajunya di bilik.
Asalnya mungkin dia berkira-kira untuk membasuh baju tersebut. Ada dua
helai semuanya. Jubah dan tudung labuhnya Kebetulan mungkin dia
terdengar suaraku di bilik mandi itu. Ahh.. aku juga sebenarnya yang
mulut luas, bising sahaja berborak dalam bilik air itu. Kebetulan aku
terjumpa Zura, roomateku sesi lepas. Apa lagi, tentunya topik itu
menjadi bualan. Aku tentang Dzikry dan Ikhwan, dan Zura kecoh sekali
menceritakan mengenai teman chatting yang baru dikenali, Faiz. Baik dan
romantik katanya.
Selepas Zura berlalu membawa bersama
pinggan-pinggan dan mug yang katanya tidak berbasuh sejak dua hari
lepas, Fasihah segera memanggilku dari dalam bilik air. Dia meminta
tolong supaya mengambil bakul baju tersebut. Aku tidak kisah. Bukan aku
tidak pernah meminta tolong darinya sebegitu.
Saat aku menyuakan
bakul tersebut, dia membuka pintu bilik airnya. Dia berkemban, dan
kelihatan agak kekok. Buru-buru dia mengambil bakul tersebut dan
mengucapkan terima kasih padaku, lantas menutup kembali pintu bilik air.
Sedang aku seperti tersihir. Dia amat cantik!!
Air mata Izah mula bertakung.
“Aku
ini, nama sahaja Hafizah, Yang Terpelihara.. tapi tidak pun
menggambarkan peribadiku.. entah apa yang terpelihara. Auratku kah?
Pergaulanku kah? Ibadahku kah? Ahh..semuanya tidak!” Air mata Izah
tambah melebat. Dia sedaya upaya menahan esakan tangisnya.
Dia
merasa sudah lelah pada permainan dunia. Yang pasti, dia bukannya
bahagia begitu. Ada juga dia berbincang-bincang dengan teman-teman
se’kepala’nya. Hasil muzakarah, mereka mencapai kata sepakat : “Untuk
apa menjadi hipokrit. Jadilah diri sendiri!” Awalnya dia bersetuju. Lama
kelamaan dia mula goyah dengan doktrin itu. Itupun setelah bermesej
dengan seorang ustazah, Ustazah Sakinah namanya. Ustazah Pendidikan
Islam sekolah menengahnya dahulu.
Kata ustazah, “Hipokrit yang
bagaimana dimaksudkan? Contohnya begini, kalau kita boleh memilih..
telur, beras, gred Exam umpamanya, mesti kita mahu yang gred A. Justeru
itu juga dalam kita memilih halatuju hidup kita. Tentunya kita mahu
semuanya yang terbaik, gred A. Ibadahnya, pergaulannya, pemakaiannya,
semuanya gred A. Gred A dan sebagainya itu tentulah sudah ada dalam
suluhan agama. Hanya kita selama ini yang hipokrit, memilih gred B, C
dan sebagainya sedangkan hati kita sebenarnya mahu Gred A. Fitrah kita
asalnya cenderung pada Gred A, kerana agama Islam itu sesuai dengan
fitrah. Cuma kita yang menjadi hipokrit pada diri sendiri, menafikan
kemahuan hati sendiri, ego pada kata hati sendiri!”
Selepas banyak
berbincang dengan Ustazah Sakinah, aku seringkali memikirkan mengenai
perkara ini. Cuma, untuk bertanya pada Fasihah, aku sebenarnya rasa
malu. Dalam erti kata lain, egokah aku?? Ya, aku sebenarnya ego.
Ternyata aku memandang rendah pada pelajar jurusan Pengajian Islam.
Fikirku, aku jurusan Perubatan. Bagai langit dan bumi. Melangkah keluar
sahaja dari universiti aku bisa memilih untuk bekerja di hospital
manapun. Tiada istilah menganggur dalam kamus kehidupan seorang graduan
perubatan. Namun aku lemah, aku kalah dalam menaksir makna sebenar
sebuah kehidupan. Maka, jadilah aku seperti sekarang.
Mataku sudah
menjadi umpama empangan yang pecah. Air mata tak tertahan lagi.
Ternyata selama ini aku mengingkari fitrah, suara hati sendiri. Aku
sebenarnya amat dengki pada mereka. Entahlah, susah untuk kugambarkan.
Mereka manis dan sopan menjaga aurat. Persahabatan mereka bukan retorik,
malah susah sekali untuk mendengar kata-kata kesat keluar dari bibir
mereka. Apatah lagi untuk bergaduh, bermasam muka sesama mereka.
Bergaduh kerana lelaki? Mempermainkan perasaan lelaki? Ah.. untuk
mendengar nama seorang lelaki dari bibir mereka pun amat payah. Yang
pasti, lelaki yang soleh tentulah untuk mereka. Mereka-mereka yang
meletakkan agama dan Allah di tempat teratas, lebih dari segala-galanya.
Sahabat, aku juga ingin sepertimu. Dalam ketenangan menghadapi hidup
ini….
Di saat itu aku merasa akulah insan yang hina di hadapan
Fasihah. Apatah lagi, aku merasakan akulah manusia yang paling kerdil
dan hina di hadapan Allah. Umurku sudah 22 tahun, seperti juga Fasihah.
Namun aku amat pasti, dia sudah jauh belayar ke lautan cinta Allah, dan
mungkin sudah sampai ke pantai kemanisan iman. Sedang aku masih
tersekat-sekat jauh di atas gunung sana. Muara masih jauh dalam
genggamanku, apatah lagi untuk mula belayar di lautan cinta Ilahi dan
tiba ke pantai kemanisan iman..
Fasihah bergerak-gerak. Aku segera
menyapu air mataku, dan berpaling ke sisi lain. Fasihah bangun, melipat
selimut, dan mengemaskan katilnya. Dia segera menuju ke bilik air
bersama baldi dan tualanya. Tak lama kemudian, dia kembali ke bilik.
Mengambil bakul bajunya. Azan Subuh berlagu syahdu bagi jiwa-jiwa yang
hidup.
“Emm…… tak ke surau ke…..” tuturku lambat-lambat.
“Emm..tak boleh solat pulak. Baru je.. Cadang nak basuh baju.. kenapa Zah?” Fasihah terkejut.
“Haa…takde apa-apa..”
Fasihah berlalu, dan aku berbelah bahagi. Cadangnya aku ingin bersamanya ke surau. Aku merasa tak kuat dalam keseorangan.
Tiba-tiba
aku bangun. Kekuatan menerpa ke dalam jiwaku. Lalu mulai saat itu aku
tekad! Saat aku melangkah kaki ke surau, meninggalkan bilikku pada fajar
yang hening itu, aku bertekad untuk meninggalkan jua segala fitrahku
yang songsang. Walau aku harus sendiri, aku ingin merasa indahnya hidup
bertemankan Allah dalam setiap langkahan kakiku, dalam setiap hela
nafasku. Ya! Inilah jalan hidupku yang ku cari-cari.
Sedang dari jauh ada sepasang mata memerhatikan. Ada air hangat mengalir di situ…
“Sesungguhnya dunia dan segala isinya adalah perhiasan.. dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah…”
No comments:
Post a Comment