Followers

8 September 2014

Nikah .... Detik Bermula Perjuangan Cinta


Perkahwinan adalah ikatan antara sepasang manusia bernama lelaki dan wanita bagi mewujudkan satu hubungan yang mesra, ceria dan bahagia.Firman Allah dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan." Ayat ini menjadi tanda, perkahwinan adalah masa dan tempohnya untuk membelai cinta. 
 



Cinta pula adalah satu perasaan yang muncul dalam diri bila berhadapan dengan satu situasi sahaja iaitu memerlukan! Dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT menyebut tentang cinta iaitu keinginan: “Diperhiaskan (pada pandangan) manusia kecintaan (hubb) terhadap apa yang diingini....” Lantas, bila diri menginginkan atau memerlukan dan diperlukan; usia, rupa atau pangkat bukan lagi halangan. Sifat cinta adalah bebas tanpa syarat. Yang penting ialah sama-sama memerlukan. Lantaran, petua utama untuk kekal mencintai pasangan yang anda kahwini ialah dengan menjadikan diri anda memerlukannya dan dirinya memerlukan anda!
 

Konsep saling memerlukan ini terkandung dalam hikmah perkahwinan ditetapkan syariat. Hikmah perkahwinan menetapkan perkahwinan perlu memberikan kebahagiaan untuk suami dan isteri. Perkahwinan juga untuk suami dan isteri melaksanakan tanggungjawab masing-masing yang tersendiri. Bahagia akan diperoleh jika tanggungjawab dilaksanakan dengan penuh toleransi, sama-sama usaha untuk memberikan yang terbaik di samping mewujudkan komunikasi unggul! Komunikasi unggul hanya akan diperolehi melalui sikap berterus terang anda kepada pasangan dan menjadikan perbincangan sebagai wadah merungkai permasalahan dan membuat keputusan. 
 

Mudahnya, cinta yang wujud sebelum perkahwinan tidak menjamin wujudnya kebahagiaan hidup berpasangan selepas perkahwinan. Cinta dan kasih bermula daripada tiada; wujud dengan sebab dan alasan tersendiri. Namun, andai cinta dan kasih yang ada tidak diambil peduli, ia boleh pergi dan tidak kembali lagi. 
Bererti bahagia perkahwinan atas nama cinta hanya akan diperolehi apabila wujud sikap positif dalam melaksanakan segala tanggungjawab, toleransi dan sedia memperbaiki kelemahan diri. Fokuskan kepada kelebihan dan kebaikan pasangan dan bersama-sama berusaha atasi kelemahan. Setiap manusia tak sempurna lantaran pasangan 'diberikan' untuk saling menyempurnakan! Moga cinta terus mekar dan membahagiakan.
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...